Sabtu, 17 April 2010

BADAR KE KONSERT KESENIAN DAN KEBUDAYAAN ISLAM PSIS


saf kepimpinan BADAR Muslimin

Pada hari Ahad 11 april 2010, saf kepimpinan BADAR SBP Integrasi Sabak Bernam telah melakukan kunjungan ke Konsert Kesenian & Kebudayaan Islam Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS). Konsert telah bermula pada jam 9.30 malam dan persembahan pembukaan telah disempurnakan oleh kumpulan nasyid dari PSIS sendiri. Kemudian konsert telah diserikan pula dengan persembahan oleh kumpulan "Saljuk" dari Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Selanjutnya, para muslimin dan muslimat telah disajikan dengan persembahan daripada artis undangan iaitu Sdr. Muadz Dzulkefly yang terkenal dengan lagu-lagu hadis.

saf kepimpinan BADAR muslimat telah turut serta

persembahan daripada kumpulan SALJUK

kumpulan nasyid PSIS tidak kurang hebatnya

penyanyi nasyid hadis-Muadz

Muadz bersemangat menyampaikan lagunya

Pada penghujung konsert, Muadz telah mengingatkan para hadirin akan penderitaan saudara Muslim kita di Palestin. Saudara Muadz telah mengejutkan para hadirin dengan mendedahkan situasi sebenar di Gaza, Palestin di mana beribu-ribu tan bantuan yang telah dihantar oleh seluruh dunia kepada mereka semasa mereka diserang oleh pengganas Zionis hakikatnya tidak dapat masuk ke Gaza kerana dihalang oleh tembok penjara gergasi yang telah dibina oleh pengganas Zionis di sekeliling Gaza mengakibatkan bantuan tidak dapat masuk ke dalam melalui jalan biasa iaitu jalan darat.

tembok gergasi yang mengelilingi Gaza

Oleh kerana itu, menurut beliau pada bulan Mei ini akan dilakukan penghantaran bantuan kedua daripada seluruh dunia kepada penduduk Gaza yang diketuai oleh Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip melalui jalan laut. Jalan laut merupakan satu-satunya laluan untuk menghantar bantuan dan memastikan bantuan tersebut sampai kepada mereka yang memerlukan kerana hanya kawasan laut sahaja tidak dihalang oleh tembok Jahanam Israel.

Untuk makluman,Insya-Allah satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 8 MEI 2010 bagi menyokong usaha penghantaran bantuan kedua ini.

Untuk maklumat sila rujuk:http://muadzseekinglight.blogspot.com/

Marilah kita beramai-ramai menyokong usaha murni ini demi saudara seagama kita di Palestin!

Sabtu, 10 April 2010

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KE-8 SBP INTEGRASI SABAK BERNAM


Alhamdulillah pada 10 April 2010 bertempat di Dewan Ibnu Khaldun (DIK) telah diadakan Hari Anugerah Kecemerlangan Ke-8 SBP Integrasi Sabak Bernam. Majlis ini telah diadakan bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun 2009 khususnya bekas calon SPM 2009

.

Majlis telah dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan ketibaan para tetamu kehormat. Kemudian, majlis telah diserikan dengan ucapan perasmian oleh Hajah Shamsiah, Pengarah Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam. Seterusnya, beberapa anugerah telah diberikan antaranya pelajar terbaik mengikut tingkatan, mata pelajaran terbaik, pelajar cemerlang PMR, pelajar terbilang SPM, pelajar gemilang SPM, pelajar cemerlang SPM, pelajar terbaik PMR dan SPM, anugerah kepimpinan pelajar, panatia cemerlang PMR dan SPM, anugerah emas, dan akhir sekali anugerah jasamu dikenang.



Selain itu, majlis telah diselit dengan persembahan 'coral speaking' 3 bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Jepun dan majlis juga telah disajikan dengan persembahan nasyid yang mantap daripada kumpulan nasyid SBPISB, Az-Zafran.


Majlis telah berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Diharapkan majlis sebegini telah mendatangkan manfaat dan motivasi kepada seluruh warga SBPISB supaya meningkatkan usaha supaya berjaya dunia dan akhirat.Insya-Allah

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN

Tingkatan 1: Syasya Alina binti Mohd Sheffie
Tingkatan 2: Ainaa Najihah bt Abdul Rahim
Tingkatan 4: Zalikha Zainuddin

PELAJAR TERBAIK PMR

Nur Ilham Alia binti Ngadnan

PELAJAR TERBAIK SPM

Sains Agama: Muhammad Haziman bin Hamdan
Sains Tulen: Izzati binti Ariffin
Sains Teknikal: Muhammad Ezrin b. Adul Rahim


ANUGERAH EMAS pada tahun ini telah disandang oleh saudara Haniz Iqbal b. Hazaidi. Tahniah diucapkan kepada beliau.

Jumaat, 9 April 2010

Malaysia Oh Malaysia!


Sejak kebelakangan ini, berita tentang kes buang bayi kerap muncul di dada-dada akhbar dan yang paling tragis adalah kes di mana mayat seorang bayi digonggong oleh seekor anjing sehingga tangannya terputus. Lebih menyedihkan ialah apabila kes-kes ini hampir kesemuanya melibatkan orang Melayu Islam.

Satu isu lagi yang telah muak untuk diperkatakan oleh masyarakat tetapi telah muncul kembali kebelakangan ini ialah jumlah anak luar nikah di Malaysia. Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.

STATISTIK

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

Statistik di atas sangat menakutkan! Tambahan pula, menurut statistik juga angka anak luar nikah yang didaftarkan meningkat setiap tahun dan jumlahnya setakat ini telah hampir mencecah 300,000 orang. Ingat, angka ini merupakan jumlah anak luar nikah yang telah didaftarkan, tidak termasuk lagi yang tidak didaftarkan dan dibunuh dengan kejam.

Wahai pembaca sekalian, situasi di atas sangat membimbangkan tambahan lagi ianya berlaku di sebuah negara Islam seperti Malaysia. Tidak malukah kita dengan pandangan negara-negara kuffar di dunia. Patutkah kita lebih merasa malu dipandang kejam oleh pihak kuffar apabila hendak melaksanakan hukuman hudud seperti sebat tetapi membiarkan mereka memandang rendah terhadap agama Islam dengan statistik bilangan anak luar nikah yang saban tahun semakin meningkat?

Hang Tuah pernah berkata,"Takkan hilang Melayu di dunia". Alangkah malangnya kita kerana beliau tidak sempat memberitahu kita Melayu yang bagaimanakah yang tidak akan hilang di dunia itu, anak-anak Melayu luar nikahkah? Tepuk dada tanya iman.

Renung-renungkan dan ayuh laksanakan perubahan!