Jumaat, 9 April 2010

Malaysia Oh Malaysia!


Sejak kebelakangan ini, berita tentang kes buang bayi kerap muncul di dada-dada akhbar dan yang paling tragis adalah kes di mana mayat seorang bayi digonggong oleh seekor anjing sehingga tangannya terputus. Lebih menyedihkan ialah apabila kes-kes ini hampir kesemuanya melibatkan orang Melayu Islam.

Satu isu lagi yang telah muak untuk diperkatakan oleh masyarakat tetapi telah muncul kembali kebelakangan ini ialah jumlah anak luar nikah di Malaysia. Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.

STATISTIK

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

Statistik di atas sangat menakutkan! Tambahan pula, menurut statistik juga angka anak luar nikah yang didaftarkan meningkat setiap tahun dan jumlahnya setakat ini telah hampir mencecah 300,000 orang. Ingat, angka ini merupakan jumlah anak luar nikah yang telah didaftarkan, tidak termasuk lagi yang tidak didaftarkan dan dibunuh dengan kejam.

Wahai pembaca sekalian, situasi di atas sangat membimbangkan tambahan lagi ianya berlaku di sebuah negara Islam seperti Malaysia. Tidak malukah kita dengan pandangan negara-negara kuffar di dunia. Patutkah kita lebih merasa malu dipandang kejam oleh pihak kuffar apabila hendak melaksanakan hukuman hudud seperti sebat tetapi membiarkan mereka memandang rendah terhadap agama Islam dengan statistik bilangan anak luar nikah yang saban tahun semakin meningkat?

Hang Tuah pernah berkata,"Takkan hilang Melayu di dunia". Alangkah malangnya kita kerana beliau tidak sempat memberitahu kita Melayu yang bagaimanakah yang tidak akan hilang di dunia itu, anak-anak Melayu luar nikahkah? Tepuk dada tanya iman.

Renung-renungkan dan ayuh laksanakan perubahan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan