Jumaat, 14 Mei 2010

RESEPI KEJAYAAN

Tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi menjelang Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 dan bagi calon-calon SPM dan PMR hanya tinggal lagi lebih kurang lima bulan sahaja lagi menjelang peperiksaan sebenar. Di kesempatan ini ana ingin berkongsi satu artikel yang ana terbaca ketika ana sedang bersiar-siar di laman internet. Bacalah dan sama-sama kita jadikan pedoman bersama. Insya-Allah




"Whatsoever you do, go with all your heart..."

" Ana rasa gelisah lah. Macam tak prepare ja nak ambik periksa tahun ni."

" Macam mana ni? Sebulan ja lagi."

Itulah antara komentar-komentar yang saya terima daripada adik-adik bakal calon SPM sekolah lama saya apabila saya menziarahi sekolah kesayangan saya baru-baru ini. Pelbagai karenah yang dapat saya lihat melalui riak-riak wajah mereka.

Ada yang menunjukkan wajah yang tenang, mampu tersenyum dan gembira seperti biasa. Bahkan masih lagi mampu melakukan usrah terhadap 'anak-anak buah'nya... Memantapkan fikrah dan rohani.

Ada yang wajahnya memancarkan bibit-bibit kegelisahan dalam diri. Gigih di saat-saat akhir menjelangnya SPM atau periksa.

Ada yang kekal di takuk yang lama. Masih lagi leka dan alpa. Leka dengan keasyikan dan keseronokan dunia.

Dan itulah mereka-mereka yang bakal 'berjuang' di dalam medan jihad menuntut ilmu. Dalam ketiga-tiga golongan di atas, pada kalian siapa yang akan mencapai kejayaan? sama-sama kita koreksi diri kira, muhasabah diri.

Hakikat penciptaan manusia, Allah SWT menutuskan kita sebagai hambaNya mengabdikan diri kepada Yang Maha Kuasa. Allah SWT berfirman dalam Surah Adz-Zariyat ayat 56 ; Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Jika ditimbang-timbang, perkataan ibadah itu merangkumi seluruh perbuatan kita dengan beberapa syarat tertentu; kerana Allah SWT, menepati syari'at Islam dan lain-lain. Maka, dalam hal menuntut ilmu juga merupakan salah satu daripada skop ibadah jika dilakukan dengan niat yang benar dan jelas.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11;

"...Dan sesungguhnya Allah SWT mengangkat darjat mereka-mereka yang berilmu dengan beberapa darjat...."

Maka dengan ini,
post saya pada kali ini merupakan tips-tips dan motivasi bagi membuka mata dan hati kita semua, sebelum kita 'berjuang' dalam peperiksaan. Umumnya, saya tujukan buat adik-adik tingkatan lima 2010 seluruh Malaysia. Akan tetapi, segala pengajaran dan perkara baik itu bolehlah kita semua ambilkan sebagai pegangan dalam jihad menuntut ilmu.


Belajar Bukan Untuk Periksa...


"Perjuangan adalah kesempatan buat orang yang bijak menilai diri..."

Ramai pelajar menganggap bahawa mereka ini menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan sijil-sijil yang melayakkan mereka mendapat tempat di pasaran kerja pada masa hadapan.

Namun hakikatnya, semua ini merupakan satu perkara yang merugikan mereka jika tanggapan sebegini tidak dikikis. MENUNTUT ILMU/ BELAJAR HANYA UNTUK PERIKSA?

Adakah anda merasakan perkara ini merupakan suatu perkara yang berbaloi? Bagi saya, ianya tidak sama sekali. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".
Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darim

Rasulullah SAW kemudian memperjelas dengan bersabda:
"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga masuk ke liang lahad."

Atau dalam hadis yang lain:
"Menuntut ilmu adalah wajib bagi muslim laki-laki dan muslim perempuan."

Seharusnya kita semua sedar bahawa menuntut ilmu itu seharusnya di 'istiqamah' kan sehinggalah ke saat nyawa di hujung halqum. Namun realitinya sekarang ini berbeza. Ramai insan-insan yang dahulunya merupakan seorang pelajar, pelajar yang bijak dan pintar, apabila melangkah ke alam pekerjaan menjadikan diri mereka ini sebagai manusia yang mempunyai 'mentaliti mangsa' - suka menyalahkan sesuatu keadaan/ situasi.

"Alah, aku dah kerja, buat apa belajar lagi! Buang masa ja."

Saya sebenarnya agak berasa satu kerugian kerana saya telah agak lama meninggalkan satu subjek yang saya amat-amat gemari dan mahir, MATEMATIK. Hal ini kerana jurusan saya (Human Sciences) di univerisiti tidak ada subjek Matematik dalam jurusan tersebut. Agak terasa kesan kehilangannya meninggalkan bidang kira-kira ini buat diri saya. Sedih juga...

Maka, sebelum menghadapi peperiksaan, saya ingin mengajak kita sama-sama perbetulkan niat kita menuntut ilmu dan berguru selama ini. Perlu diketahui bahawa peperiksaan itu hanya sebagai wasilah (jalan) untuk menguji, setakat manakah kita menguasai sesuatu bidang tersebut.

Dan yang paling penting, niat menuntut ilmu itu perlulah jelas. Kita meletakkan mencapai redha Allah SWT sebagai yang utama, kemudian barulah mencapai kejayaan itu sendiri. Tanpa redha Allah SWT, segala usaha dan perahan otak kita itu hanya sia-sia.

Dan Allah SWT jugalah yang memberikan kejayaan kepada hamba-hambaNya.

Ingat! Belajar bukan untuk peperiksaan tetapi peperiksaan itu hanya sebagai wasilah kepada kejayaan redha Allah SWT, dunia dan akhirat.



Formula Kejayaan Seorang Muslim

" The art of living is more like wrestling than dancing..."

Setiap kali mendapat nikmat
Jarang ku sedari itu pemberianMu
Terkadang rasa itu kerana
Segala usaha dan penat lelah ku sahaja

"Yes! Dapat keputusan cemerlang... 11A tu. berbaloi pun usaha aku selama ni."

Bagi seorang yang tidak jelas niat dan fikrahnya dalam menuntut ilmu, mungkin inilah yang akan terpacul keluar daripada mulutnya apabila mencapai nikmat kejayaan. Merasakan bahawa kejayaannya itu datang daripada penat lelahnya sendiri. Seperti bait-bait yang tersusun di awalnya.

Jarang sekali kita bersyukur...

Bagi seorang Muslim yang jelas niat dan matlamat dalam menuntut ilmu, apabila kejayaan dicapai, maka mereka akan meletakkan kembali kejayaan itu 'datang dari Allah SWT'. Dan rasa bangga, takbur, sombong dan riak itu akan cuba dilempar 'berbatu-batu' jauhnya daripada diri mereka.

Tak ku lupa kepada Allah
Tempat kembali segala masalah


Perlu diketahui bahawa segala apa yang kita kecapi ini merupakan milik Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Munafiqun ayat 8; " ... Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasulnya serta bagi orang-orang yang beriman , akan tetapi orang-orang munafiq itu tidak tahu mengetahui (hakikat yang sebenar)"

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semua itu dari Allah SWT


Hati gembira terasa bahagia
Itulah tanda nikmat dariNya
Ingat Allah SWT bersyukurlah padaNya
Wajiblah kita lafazkan Alhamdulillah


Dan dalam realiti kita mengejar kejayaan dunia dan akhirat ini, kita bukan hanya setakat perlu berusaha. Tetapi kita juga perlu 'meminta'. Apa yang dimaksudkan dengan meminta di sini. Ya! Maksudnya adalah memohon doa kepada Allah SWT. Hal ini kerana Allah SWT sentiasa menerima doa kita dan sentiasa berada hampir dengan hamba-ham baNya yang meminta kepadaNya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 186, bermaksud;

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanyakan engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaKu apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk"

Dan setelah kita berusaha, berdoa, maka kemudiannya kita bertawakal kepada Allah SWT sambil terus-menerus memohon doa kepadaNya. Itulah kejayaan dan resepi seorang Muslim yang jelas matlamat kehidupannya di dunia ini.

Dan bagaimana jika kita ditimpa kegagalan setelah kita melakukan seperti mana di atas?

Maka ingin saya katakan di sini;

"La Takhaf Wa La Thazan, InnAllaha Ma'ana"

Jangan kamu sedih dan berkecil hati, kerana Allah SWT bersama-sama kita. Sebagaimana yang selalu kita dengar, kegagalan itu tak bererti kita gagal selama-lamanya. Tetapi di sebalik kegagalan itu, kita harus mencari kekuatan untuk menjadi 'perangsang' kepada kebangkitan kita yang seterusnya.

Mungkin, Allah SWT menagguhkan kejayaan kita agar kita menjadi hamba yang mempertingkatkan kesyukuran dan keimana kepadaNya. Dan mungkin juga Allah SWT menangguhkan kejayaan kita untuk kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Apapun, dengan syarat mestilah bersyukur...

Saya pernah berhadapan dengan situasi kegagalan dalam peperiksaan. Menangis kesedihan, penuh dengan rasa kecewa. Tetapi, muhasabahlah yang menguatkan hati-hati kita. Kerana hati itu raja bagi sekelian diri.

Jika berjaya kamu bersyukur...

Jika gagal lakukan muhasabah dan lakukan langkah yang teripta dengan lebih tersusun...

Moga kejayaan dan kegagalan tidak mengalpakan kita daripadaNya yang hampir di sisi kita...

Penutup: Tuhan Tidak Lupakan Kita

Apabila jalan dirasa gelap, ketahuilah sinar cahaya masih jauh perlu dikejar...

Akhir kalam, sebelum saya menamatkan perkongsian saya kali ini, ingin saya katakan bahawa Allah SWT itu tak pernah melupakan hamba-hambaNya yang mengingati Dia.

Ya!

Allah SWT itu tidak jauh daripada setiap hambaNya. Yang menjadikan Allah itu jauh daripada kita ialah diri kita sendiri. Hati yang tidak merasai kewujudan dan rahmat Allah serta kefahaman yang tidak betul terhadap agama selalu menjauhkan perasaan manusia daripada Allah SWT.

Sentiasalah bangun, berdoa dan memohon kepadaNya kerana Allah SWT itu suka kepada hamba-hamba yang meminta kepadaNya.

Dan yang paling penting, kejayaan kita itu hakikatnya biarlah menyumbang kepada Islam itu sendiri. Jadikanlah diri kita sebagai hamba-hamba yang bersyukur.

Oh Allah Yang Maha Penyayang
Leraikanlah aku dari keluh kesah
Yang membelenggu jiwa dan fikiran
Ditambah juga hasutan syaitan

Kurniakanlah kepadaku ketabahan
Singkapkan ku hikmah segala ketentuan
Moga sinarMu berikanku pedoman
Hanya padaMu segala ketetapan

-Kepada calon-calon peperiksaan tidak kira tingkatan satu, dua, tiga, empat, dan, lima, ingatlah formula "DUIT", Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakal. Semoga kita beroleh kejayaan bukan setakat dalam peperiksaan, malah di dunia dan akhirat. Insya-Allah-

Tiada ulasan:

Catat Komen