Jumaat, 27 Ogos 2010

Ruginya Kita


Sahur, buka, sahur, buka, kini tinggal lagi separuh bulan kita berada di bulan Ramadhan. Calon PMR hanya tinggal kurang daripada sebulan untuk menghadapi PMR sebenar dan bagi calon SPM seperti saya sekarang ini masa hanya tinggal kurang daripada 3 bulan untuk membuat persiapan. Sangat cepat masa berlalu.

Rasulullah sentiasa berdoa, Ya Allah berkatilah daku di bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah daku di bulan Ramadhan. Mengapa Rasulullah berdoa seperti ini saya kira tidak perlu saya panjangkan kerana masing-masing tahu betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan di bulan Ramadhan antaranya pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, dan syaitan dibelenggu dan diikat. Selain itu seperti yang kita sedia maklum di bulan Ramadhan ini terdapat banyak ibadah-ibadah yang dijanjikan ganjaran yang banyak oleh Allah antaranya berkat sahur, pahala berbuka puasa, tadarus, qiamullail, dan tarawih. Bayangkan dalam sehari di bulan Ramadhan betapa banyaknya pahala yang kita dapat.
Di sebalik nikmat dan ganjaran yang Allah kurniakan di bulan Ramadhan, masih ramai yang tidak mengambil endah dan hanya memandang sebelah mata tentang perkara ini lebih-lebih lagi di akhir bulan Ramadhan ini. Malam pertama, kedua, dan ketiga Ramadhan bukan main penuh masjid dengan jemaah terawih tetapi malam ke sebelas, dua belas, dan tiga belas, bilangan jemaah kian berkurang. Berbeza sungguh dengan sikap para sahabat di zaman Rasulullah yang menangis dan meningkatkan ibadah apabila Ramadhan kian melabuhkan tirainya.
Bersyukurlah kita kerana diberi peluang oleh Allah untuk menghirup oksigennya di bulan Ramadhan ini. Yakin dan pastikah kita akan diberi peluang lagi untuk hidup pada Ramadhan yang akan datang? Ingatlah kematian itu tidak mengenal usia, masa, dan tempat.

Maka marilah kita, saya dan anda bersama-sama meningkatkan ibadah kita di bulan Ramadhan ini yang berbaki lebih kurang 2 minggu lagi. Bersama-samalah kita merebut ganjaran dan kelebihan yang Allah janjikan di bulan yang penuh dengan keberkatan ini yang hanya muncul selama sebulan dalam setahun. Insya-Allah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan