Ahad, 1 Jun 2008

Soalan Cepumas?...


Andainya anda diajukan kenyataan berikut,apakah jawapan sewajarnya anda kemukakan.......

“Apa bezanya seorang muslim dan penyembah berhala, kerana berhala diperbuat daripada batu, sedang Kaabah yang dihadap muslim ketika solat diperbuat daripada batu”

Apakah jawapan dan dalil yang kita mahu tampilkan ? Secara ringkas, kita kita tidak sesekali menyembah Kaabah seperti berhala pujaan penyembahnya tetapi yang disembah itu ialah Yang Empunya Kaabah iaitu Allah...dan tidaklah seorang muslim perlu menghadirkan diri di hadapan Kaabah secara nyata seperti penyembahan berhala,cukup sekadar menghadap ke arahnya seperti sepotong hadis daripada Al-Baihaqi:

البيت قبلة لأهل المسجد و المسجد قبلة لأهل الحرم و الحرم قبلة لأهل الأرض في مشارقها و مغاربها من امتي

Baitullah(Kaabah) adalah kiblat bagi orang-orang yang dalam masjid.Dan masjid adalah kiblat bagi orang-orang yang tinggal di Tanah Haram(sekeliling Makah).
Dan Tanah Haram(Makkah) adalah kiblat bagi seluruh penduduk bumi,timurnya dan baratnya dari umatku.”

Perihal Kiblat

Dalam Tafsir Al-Azhar karangan Dr. HAMKA memetik ayat 142 hingga 152 daripada surah Al-Baqarah memerihalkan soal kiblat. Namun apa yang menarik terkandung dalam ayat 142-143:

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya Yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat Yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah Yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus".

Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan Yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat Yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat Yang Engkau mengadapnya dahulu itu (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah Yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula Yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan Sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang Yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

Di sinilah kunci persoalan tadi ,bahawasanya Allah tidak menempati sesuatu ,dan seluruh alam,timur dan barat adalah kepunyaan-Nya.Intisari solat kita ialah khusyuk, yakni tetap hati menghadap wajah Allah,tersimpul dalam doa iftitah.Harus diingat,bahawa Islam bukan semata-mata urusan peribadi, bahkan urusan kesatuan insan di bawah kalimah tauhid.Tanpa ketetapan kiblat ini, ia boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Tidak terhenti di situ,peristiwa perpindahan kiblat juga melahirkan أمة وسطا ,umat yang di tengah,di antara umat Yahudi yang materialistik dan umat Nasrani yang taksub pada kerohanian.Umat Muhammad kelak menjadi saksi pada umat lain di akhirat kelak.Bagaimana itu terjadi? Allah mengubah kiblat untuk menunjukkan siapa yang mengikut Rasul atau ikut-ikutan kerana Nabi berkiblat ke Masjid Al-Aqsa.

Begitulah Allah menunjukkan hikmah pada sesiapa yang mahu mengambil iktibar,baik pada tersurat dan tersirat .Bagai satu kesimpulan, Allah mengingatkan pada ayat 152:

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu Dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

Sekian,wasalam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan