Memaparkan catatan dengan label Aqidah Tauhid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aqidah Tauhid. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Julai 2010

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya diri ini untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat iaitu Ramadhan al-Mubarak. Namun seringkali dilupai bahawa di penghujung bulan Rejab ini berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat Islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama. Di bawah merupakan rentetan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum, semasa, dan selepas peristiwa Israk Mikraj.

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..

SUMBER:

http://fullfilth.blogspot.com


Rabu, 17 Februari 2010

Rahsia Tarian Poco-Poco





Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dengan izinNya. Saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan semua tentang tarian poco-poco yang sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat, umumnya masyarakat kita yang beragama Islam terutama ketika manghadiri kursus.

Sebenarnya tarian poco-poco ini berasal dari Filipina bukannya dari Indonesia. Ia ditarikan oleh masyarakat yang beragama kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Lihatlah sahaja bagaimana pergerakannya, yang membentuk salib. Mungkin kita tidak perasan kerana kita suka mengikut-ikut sesuatu yang baru tanpa usul periksa.

Inilah cara musuh-musuh Islam mengenakan kita sedangkan kita tahu apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga yang telah difatwakan haram kerana menyerupai agama Hindu. Cuma tarian poco-poco ini belum difatwakan haram lagi.

Marilah kita sama-sama fikirkan. Saya dulu pernah terfikir, kenapa tarian itu dimulakan daripada kiri? Dan apa jenis senaman ini? Relevankah tarian ini, yang kelihatan seperti tidak siuman? Saya menyeru kepada diri anda semua supaya mengambil inisiatif untuk tidak menarikan lagi tarian ini yang ternyata mensyirikkan Allah tanpa kita sedar. Dan paling utama memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas kejahilan kita tentang perkara ini sebelum ini.

Semoga mendapat perhatian pihak berkenaan agar mengkaji secara terperinci tentang kesahihan perkara ini, asal usul dan kesannya kepada akidah umat Islam dan mengeluarkan fatwa tentang tarian ini, agar Umat Islam tidak berterusan di dalam kelalaian dan keasyikkan menarikan tarian ini.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Panduan Dan Batasan Syariat Dalam Membenarkan Nyanyian

Di sini, kami tidak lupa untuk menambah beberapa panduan dan batasan yang perlu diambil kira sehingga nyanyian kekal dalam hukum halal. Antaranya:




1-Lirik lagu hendaklah bebas dari segala penyelewengan syariat

Kami tegaskan di sini bahawa bukan semua nyanyian hukumnya harus. Nyanyian yang harus hendaklah mempunyai tema yang bertepatan dengan ajaran Islam, tidak bercanggah dengan aqidah, syariat mahupun akhlak Islam.


Oleh itu kita tidak dibenarkan untuk menyanyi syair Abu Nuwwas yang menyebut:


Biarkanlah celaanku, kerana celaan adalah satu godaan,

Berikanlah aku penawar dari punca kesakitan itu sendiri.


Juga tidak boleh dinyanyikan kata-kata Syauqi:


Ramadhan berlalu, maka datangkanlah ia wahai penuang-penuang arak

Jiwa yang rindu ingin segera bertemu dengan kerinduannya


Ini kerana syair di atas jelas menyeru kepada arak yang dianggap oleh Islam sebagai ibu segala maksiat.

Lebih membahayakan lagi, kata-kata Iliyaa’ Abu Madhi yang bekata dalam satu qasidahnya yang bertajuk at-Tolaasim (mentera atau jampi serapah):


Aku tak mengetahui dari mana asalku, tetapi aku tetap datang!

Aku melihat langkah mereka yang terdahulu lalu aku melangkah!

Aku akan terus mara berjalan sama ada aku suka ataupun tidak!

Bagaimana aku datang?

bagaimana aku melihat perjalananku?,

aku pun tidak tahu!

Kenapa aku tidak tahu?

Aku sendiri pun tidak tahu.


Dalam syairnya ini, dia seolah-olah menimbulkan keraguan terhadap asas keimanan iaitu permulaan hidup, tempat kembali dan soal-soal kenabian.


Antaranya juga lagu berbahasa arab pasar yang bertajuk `Min Ghair Leh’ (tanpa sebarang alasan), kerana ia nerupakan terjemahan syak wasangka Abu Madhi ke dalam bahasa pasar agar pengaruh dan kesannya bertambah.


Begitu juga dengan lagu yang mengandungi perkara haram juga ialahnyanyian yang bertajuk: Dunia hanyalah antara rokok dan gelas (arak). Semua ini berlawanan dengan ajaran Islam yang telah melabelkan arak sebagai najis dan amalan syaitan. Islam melaknati peminum arak, pemerahnya (pengilangnya), penjualnya, pembawanya dan semua pihak yang memberikan saham kepadanya. Rokok pula membahayakan badan, jiwa dan harta. Ia juga termasuk dalam perkara buruk yang diharamkan


Antaranya juga, lagu-lagu yang memuji-muji pemerintah yang zalim, taghut (melampaui batas) dan fasik yang sedang berleluasa dalam umat kita sekarang. Lagu-lagu sebegini juga bertentangan dengan ajaran Islam. Islam melaknat golongan zalim dan setiap pihak yang membantu bahkan siapa sahaja yang mendiamkan diri dengan kezaliman. Bagaimana pula dengan orang yang memuja dan mengagungkan mereka? Sudah tentu lebih jelas pengharamannya.


Lagu-lagu yang memuji lelaki atau perempuan yang bermata galak atau ghairah adalah juga bercanggah dengan adab-adab Islam yang menyeru:


Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).

(An-Nur: 30).


Dan juga firman-Nya:


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).

(An-Nur: 31)


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:


يَا عَلِيُّ! لاَ تُتْبِعْ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ اْلأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ اْلآخِرَةُ


Wahai Ali, janganlah kamu ulang pandang selepas pandangan yang pertama, kerana pandangan pertama adalah untukmu tetapi pandangan kedua bukan untukmu (bahkan dosa ke atasmu).[1]




2-Persembahan Yang Tidak Melampau Dan Menggoda


Gaya persembahan juga mempunyai kesan dan kepentingannya. Terdapat lagu yang mana liriknya tidak bermasalah namun cara ia dipersembahkan oleh penyanyi lelaki atau wanita telah mengeluarkannya dari zon halal kepada zon haram, syubhat ataupun makruh. Mereka sengaja memanja-manjakan vokal mereka dan menghairahkan lengguk badan semata-mata untuk membangkitkan syahwat yang dibendung dan menggoda jiwa yang lemah.


Jenis nyanyian sebeginilah yang menjadi fenomena masakini, diminati bahkan digilai oleh para penonton dan pendengar dari siaran tv ataupun radio arab (dan mana-mana radio/TV di seluruh dunia). Hampir semua nyanyian bertumpu kepada aspek tarikan seksual dan segala apa yang berkaitan dengan cinta dan asmara. Ia hanya bertujuan untuk menaikkan keghairahan dan gelora jiwa khususnya di kalangan muda mudi.


Naluri seksual ini adalah perkara yang amat dominan sehingga ada pakar psikologi yang menafsirkan seluruh tabiat manusia dengannya. Naluri seksual sebegini sepatutnya dimartabatkan dan dimuliakan (dengan adab Islam) bukan dibangkit dan dinyalakan dengan perkara-perkara yang menghairahkan.


Al-Quranul Karim memberi arahan kepada isteri-isteri Rasululah dengan ayat:


Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).(Al-Ahzaab: 32).


Bagaimana jika memanjakan dan menghairahkan suara dengan iringan irama, melodi, tarian? (Tentunya adalah lebih diharamkan).




3. Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang haram.


Aspek ketiga ialah: Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan seperti minum arak, menagih dadah, muzik yang menghairahkan seperti yang mengiringi lagu-lagu barat masa kini, antaranya yang berkonsep budaya hippies (hip-hop) dan seumpamanya. Begitu juga muzik yang mengiringi nyanyian yang diharamkan yang mana dengan menyanyikan lagu tersebut akan menyebut secara langsung perkara haram tersebut. Contohnya lagu yang menyebut perkataan lucah, berhias dan pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa ikatan dan had. Inilah yang biasa berlaku dalam konsert dan majlis-majlis nyanyian semenjak dahulu lagi, sehingga apabila disebut sahaja majlis nyanyi-nyanyian, gambaran yang datang secara langsung di dalam minda ialah: Arak, dayang-dayang dan perempuan.


Situasi sebeginilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain:


لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللهُ بِهِمْ اْلأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ


Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain. Mereka dialunkan oleh muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan babi-babi.


Ingin saya menarik perhatian di sini bahawa: Pada zaman dahulu, untuk mendengar nyanyian, seseorang perlu pergi ke majlis-majlis nyanyian dan bercampur gaul dengan golongan artis dan pembantu-pembantu mereka. Jarang terdapat majlis sebegitu yang bebas dari perkara-perkara yang diingkari syariat dan agama.


Namun pada zaman ini, keadaannya sudah berbeza. Seseorang boleh mendengar lagu dalam keadaan berjauhan dari khalayak dan majlis tersebut. Tidak syak lagi bahawa ini adalah satu elemen yang boleh meringankan hukum dalam isu ini. Ia boleh menyebabkan hukum nyanyian lebih kepada zon diizinkan dan dipermudahkan, jika bebas dari segala kemungkaran.




4-Tidak Berlebih-lebih Dalam Mendengar Nyanyian


Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah dihadkan agar tidak berlebihan. Allah s.w.t. telah berfirman:


Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

(Al-Aa’raf: 31)



Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda:


كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا وَتَصَدَّقُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ


Makanlah, minumlah, bersedakah dan berpakaianlah tanpa berlebihan dan sombong[2]


Di sini, Rasulullah mengikat keharusan melakukan perkara yang halal dengan dua jenis ikatan:


Pertama:Ikatan zahir iaitu aspek kuantiti: Menjauh sikap berlebih-lebih dan membazir.


Kedua: Ikatan dari segi kualiti: Jauh dari kesombongan, meninggi diri dan berbangga ke atas orang lain. Allah tidak menyukai orang yang sombong dan bermegah-megah.


Mengelakkan pembaziran adalah dituntut dalam segala perkara harus. Tuntutannya lebih kuat dalam hal hiburan, terutamanya bidang nyanyian yang diiringi muzik ataupun tidak, khasnya lagu-lagu sentimental yang hanya menbicarakan berkenaan cinta dan kerinduan.


Manusia bukan hanya sudut emosi dan emosi pula bukan semuanya cinta. Cinta pula bukan hanya kepada perempuan sahaja dan perermpuan pula bukannya hanya jasad dan nafsu sahaja.


Oleh kerana itu, kita perlu mengurangkan jenis nyanyian sentimental dan asmara yang melimpah ruah di pasaran sekarang ini. Kita perlu mengatur nyanyian, program dan kehidupan yang seimbang dan saksama antara agama dan dunia.

Aspek keduniaan perlu diseimbangkan antara hak peribadi dan hak masyakarat. Aspek aspek peribadi pula perlu diseimbangkan antara hak akal dan hak emosi.

Dalam aspek emosi, ia perlu juga diseimbangkan antara seluruh emosi-emosi lain sama ada emosi cinta, benci, ghairah, semangat, kebapaan, keibuan, keanakan, persaudaraan, persahabatan dan lain-lain lagi.


Sifat keterlaluan dan berlebih-lebihan dalam meluahkan satu bentuk emosi sahaja akan mengatasi kepentingan emosi-emosi yang lain. Ia akan mengatasi kewarasan fikiran, roh dan kehendak, mengatasi kepentingan, ciri-ciri dan rukun masyarakat, juga ke atas nilai-nilai dan ajaran agama.


Oleh itu agama melarang perbuatan melampau dan membazir dalam setiap perkara sehingga dalam perkara ibadat. Jika begitu, tentunya ia lebih dilarang dalam konteks berhibur atau menghabiskan masa dengannya, walaupun hukum asalnya adalah harus.


Perbuatan ini menandakan akal dan jiwa yang kosong, lalai dari melakukan kewajiban-kewajiban besar dan tujuan-tujuan yang lain. Ia juga menunjukkan bahawa dia telah mencuaikan banyak hak-hak yang perlu dilakukanya, tambahan dengan singkatnya tempoh dan umur manusia di dunia.


Alangkah benar dan mendalamnya maksud kata-kata Ibnu Muqaffa’:


“Aku tidak melihat berlakunya satu pembaziran melainkan ada suatu hak yang telah diabaikan”.


Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan kitab Suhuf Nabi Ibrahim ada menyebut:


“Seorang yang waras perlu menumpukan perhatiannya kepada tiga perkara: Mencari kehidupan duniawi, mencari bekalan untuk hari akhirat atau keseronokan yang tidak diharamkan.” [3


Oleh itu marilah kita bahagi-bahagikan waktu kita secara adil antara tiga-tiga perkara ini. Hendaklah kita ketahui bahawa Allah akan mempersoalkan setiap manusia berkenaan umurnya, kemanakah dihabiskannya?, juga berkenaan masa mudanya, apakah yang dilakukan dengannya? [4


Imam al-Ghazali mempunyai pendapat yang baik dalam kitab Ihyaa’ nya berkenaan halangan yang boleh menukarkan hukum nyanyian yang harus kepada haram:


Beliau menyebut halangan kelima iaitu:


“ Pendengar dari masyarakat awam yang tiada unsur kecintaan kepada Allah tetapi amat menggemari nyanyian dan dia tidak terpengaruh kepada sebarang unsur syahwat. Ketika ini nyanyian yang asalnya haram untuknya akan menjadi harus sepertimana lain-lain perkara harus yang menyeronokkan. Namun apabila dia menjadikan nyanyian sebagai siulannya dan dia meninggalkan kewajiban yang lain (kemaruk), dia tergolong dari kalangan orang dungu yang tertolak persaksiannya. "


Sifat ingin sentiasa berhibur adalah satu jenayah. Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan terus menerus. Begitu jugalah keadaannya dengan sebahagian perkara harus yang lain. Terus menerus melakukannya akan menjadikannya dosa walaupun dalam skala yang kecil. Contohnya: Sentiasa berhibur mendengar nyanyian dan tarian kaum Afrika dan Habsyi secara berterusan. Ia adalah dilarang walaupun pada asalnya tidak haram kerana Rasulullah sendiri melakukannya.


Antara contoh yang sama dalam hal ini ialah bermain catur yang diharuskan oleh syarak. Namun apabila terus menerus dimainkan, hukumnya akan bertukar menjadi makruh yang amat dibenci. Sekiranya tujuan sesuatu permainan adalah untuk berseronok dan berhibur, ia diharuskan kerana ia dapat merehatkan hari. Kerehatan hati akan menjadi penawar kepadanya dalam beberapa keadaan, membangkitkan semula semangatnya lalu mendorongnya untuk berusaha lebih gigih sama ada dalam urusan dunia seperti mencari pendapatan dan berniaga, ataupun dalam perkara agama seperti sembahyang dan membaca al-Quran.


Kebaikan sebegini akan dapat dihayati apabila dilakukan berselangan dengan perkara-perkara serius. Ia umpama tahi lalat di pipi yang boleh memaniskan wajah seseorang, tetapi jika bilangan terlampau banyak, wajah akan bertukar menjadi hodoh. Alangkah buruknya jika ia berlaku. Begitulah juga dalam masalah ini. Kebaikan pada asalnya akan bertukar menjadi buruk kerana terlalu banyak dilakukan.


Bukan setiap perkara elok akan kekal elok apabila dilakukan secara banyak dan berterusan. Begitu juga perkara yang harus. Malah roti adalah harus, namun apabila dimakan secara melampau akan menjadi haram (kepadanya). Begitu jugalah seluruh perkara harus yang lain[5].


Tuan Guru an-Nablusi dalam kitab yang bertajuk Idohul Aalat berkata:


“Muzik dan nyanyian yang bercampur dengan arak, zina, liwat ataupun bibit-bibitnya seperti sentuhan ghairah, ciuman, pandangan bernafsu kepada bukan isteri, atau sekadar berazam untuk melepaskan syahwat yang diharamkan atau berkhayal melakukannya dan berangan-angan untuk berada dalam majlis sebegitu, semuanya adalah perkara yang diharamkan. Haram mendengarnya kerana tujuan dan niat tersebut adalah haram. Ia hanya akan mendorongnya melakukan perkara haram yang ada dalam majlis itu, atau perkara haram yang diingininya dalam ilusinya dan dia juga sentiasa membayangkan dia berada di majlis seperti itu. Perkara yang membawa kepada haram adalah haram. "


Sekiranya tujuan sebegini merupakan kebiasaan di zaman ini, kita tetap tidak boleh menghukum dengan menggunakan firasah dan jangkaan sahaja lalu memfasikkan seorang umat nabi Muhammad s.a.w.. Kita tidak boleh menghukum seseorang kecuali jika perkara yang haram itu jelas berlaku di hadapan mata di mana sudah tidak ada kemungkinan dan takwil yang lain lagi.

Mungkin ada orang yang akan berkata: Cetusan hati untuk melakukan syahwat yang haram seperti zina, minum arak dan sebagainya (dan ia tidak dilaksanakan) sebenarnya tidak memberikan dosa kepada pelakunya dari segi syarak. Inilah yang diputuskan oleh para ulama’ dalam tajuk-tajuk yang berkaitan dengannya. Oleh itu, bagaimana pengharusan nyanyian bersyarat dengan tiadanya cetusan hati yang diharuskan oleh syarak ini? Ada contoh perkara ini dari segi syarak?.


Jawabnya: Ya. Cetusan hati sebegini tidak membawa dosa kepada seseorang sekiranya ia terbuku di hati dan hati masih berbelah bahagi sama ada untuk melakukannya ataupun tidak, selagi tidak menjadi satu keazaman. Namun apabila seorang hamba mendengar nyanyian lalu hatinya bergelora, azamnya menjadi kuat dan syahwatnya mula menyala, ketika itu dia tidak berupaya lagi untuk menolaknya. Ketika itu dia akan melakukan perkara yang dimahukan oleh nafsunya itu, sekiranya dia mampu.


Kita ikatkan perkataan `syahwat’ di sini dengan `yang diharamkan’ semata-mata untuk mengecualikan syahwat yang diharuskan. Contoh syahwat yang diharuskan ialah makanan dan minuman halal yang lazat, perkahwinan (persetubuhan) dengan isterinya dan lain-lain lagi. Cetusan hati kepada syahwat yang halal sebegini sekiranya ia berlaku ketika mendengar nyanyian, tidak akan mengharamkan nyanyian tersebut. Malah nyanyian akan kekal dengan hukum harusnya” [6]




5. Berkaitan Dengan Pendengar


Selepas penjelasan ini, tinggal lagi beberapa perkara atapun zon-zon tertentu yang berkaitan dengan pendengar. Perkara sebegini tidak tertakluk dalam sebarang fatwa ataupun disiplin tertentu secara terperinci, malah ia terserah kepada hati dan ketaqwaan seseorang. Para pendengar adalah orang yang lebih faham keadaan dirinya dan lebih layak menjadi mufti (pemutus) kepada dirinya sendiri.


Setiap orang mengetahui dirinya, arah fikiran dan cetusan hatinya, lebih dari orang lain. Sekiranya nyanyian ataupun jenis-jenis tertentu darinya boleh menyalakan emosinya dan mendedahkannya kepada fitnah dan kejahatan, menyebabkannya berenang di alam fantasi dan memuncakkan nafsu kebinatangannya melebihi sudut spiritual, ketika itu dia perlu meninggalkannya. Dia perlu menutup pintu yang mungkin didatangi oleh angin fitnah kepada hati, agama dan akhlaknya. Hanya ketika itu sahaja, dia akan terselamat dari fitnah.


Inilah yang digambarkan oleh sebuah hadis nabi:


الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ. وَاْلاءثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ


Kebaikan ialah apa yang ditenterami oleh jiwa dan ditenangi oleh hati sedangkan dosa ialah perkara yang tidak ditenterami oleh jiwa dan tidak ditenangi oleh hati, walau apapun yang telah difatwakan oleh orang-orang yang memberikan keputusan. [7]


Inilah yang cuba ditegaskan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Ihyaa’ ketika menyebut dalil pengharusan dari aspek nas dan maqasid syariah. Kemudian beliau menyebut halangan kepada nyanyian yang menukarkan hukum harus kepada haram. Beliau berkata:


"Halangan keempat adalah dari diri pendengar itu sendiri. Jika pendengar seorang pemuda yang mudah dikuasai oleh nafsu syahwat dan sifat ini lebih menonjol dari sifatnya yang lain. Mendengar nyanyian adalah haram baginya sama ada dia dikuasai perasaan cinta kepada seseorang ataupun tidak. Orang yang sebegini akan bangkit syahwatnya walaupun dengan hanya mendengar sifat rupa paras, pipi, perpisahan dan percintaan dan sebagainya. Dia sentiasa mengkhayalkan imej-imej yang tertentu lalu syaitan meniupkan api syahwat ke dalam hatinya yang akan mendorongnya kepada kejahatan."


Keadaan ini merupakan bantuan kepada kumpulan syaitan dan satu kekecewaan kepada yang menjadi batu penghalang kepada kumpulan Allah. Pertarungan antara tentera syaitan (syahwat) dan tentera Allah (cahaya akal) akan sentiasa berlaku di dalam hati, kecuali dalam hati yang telah dikuasai oleh salah satu pihak secara total.


Kini, kebanyakan hati telah dimenangi dan dikuasai oleh tentera syaitan. Justeru, pertarungan ini belum selesai. Ia perlu disambung semula untuk menggugat dan menghalangnya dari memperbaharui senjata, pedang dan segala peralatannya. Bidang nyanyian adalah merupakan pengasah senjata syaitan kepada orang yang sebegini. Oleh itu dia sepatutnya meninggalkan keseluruhan nyanyian kerana ia akan memudaratkannya.[8]


Sumber: Fiqhul Ghina’ wal Musiqi fi Duil Quran was Sunnah.-(Feqah Nyayian dan Muzik berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah)-Oleh Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi.



[1] Riwayat Abu Daud (2149), at-Tirmizi (2778) dan berkata: Hadis hasan gharib. Kedua-dua riwayat ini dari Buraidah. Juga diriwayatkan oleh Ahmad dari Ali (1373). Syeikh Syakir berkata: Sanadnya sahih. At-Tobrani meriwayatkan dalam kitab al-Awsat. Perawinya adalah thiqah. Begitulah juga yang diperkatakan oleh al-Haithami (4/277), riwayat al-Hakim (3/123) yang disahihkan dan dipersetujui oleh az-Zahabi.


[2] Riwayat Ahmad, an-Nasaie, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Amru. Al-Albani telah menghasankan hadis ini dalam kitab sahih al-Jamiek as-Soghir (4505).


[3] Riwayat Ibnu Hibban dari hadis Abu Zar dan hadis ini amat daif. Namun kita boleh melihatnya dari sudut hikmah yang tinggi.


[4 ]Sebagaimana yang ditunjukkan oleh hadis Ibnu Mas`ud dan Abu Barzah yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi. Lihat Sahih Jamiek as-Soghir (7299 dan 7300).


[5] Riwayat Imam Ahmad dari Abi Tha’labah dan disahihkan lagi dalam kitab Sahih al-Jami’ as-Saghir


[6] Al-Ihyaa; (2/283).


[7] Riwayat Imam Ahmad dari Abi Tha’labah dan disahihkan lagi dalam kitab Sahih al-Jami’ as-Saghir


[8] Al-Ihyaa; (2/283).

Rabu, 11 Februari 2009

Yang Terlupakan...

Di kala orang sibuk bicara siasah(malas nak sebut dah...POLITIK),rupanya ada bicara yang kita terlupakan...BICARA AQIDAH!Fenomena ini sebenarnya sudah agak lama melanda masyarakat kita,terutamanya golongan pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara.Kita pernah digemparkan dengan Black Metal,datang pula gelombang Jangan Ikut Tuhan dan kini berputik semula fenomena Syaitanisme(Apa Kata WikiPedia?).

Menurut kajian yang bertajuk Elemen Satanisme Dalam Trend Kepenggunaan Media Dalam Kalangan Belia Islam (dipetik dari Berita Minggu 25/1/2009)yang diketua Prof. Madya Dr. Che Zarrina Sa'ari,pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,membabitkan 682 pelajar ISLAM majoriti pelajar dalam lingkungan13-30 dan mempunyai pendidikan agama setakat sekolah menengah biasa.HASIL KAJIANNYA...
  • Ramai menganggap pembabitan dalam satanisme sebagai suka-suka,tanpa menyedari ia memesongkan aqidah dan membawa kepada syirik!
  • Memegang prinsip 'nak jadi apa pun boleh asalkan tak kacau orang lain'
  • Peminat fanatik filem-filem seram,khususnya dari Asia(ops silap dari MALAYSIA)
  • Minat lagu Black Metal yang berunsur kebencian,kematian(tang ni macam gotik pun ada) dan kekuasaan syaitan.
  • Ada lagu tempatan turut menjadikan syaitan dan hantu sebagai elemen utama.
  • Suka menggayakan pakaian dan aksesori berunsurkan satanisme seperti gambar tengkorak,hantu,syaitan dan iblis.
Wahai ibu bapa,pandanglah wajah anak-anakmu ini dengan kasih sayang!Kami perlukan perhatianmu dalam membentuk garis kehidupan kami.Pada hemat penulis,fenomena seperti ini tercetus dek pemberontakan dalam senyap anak-anak.Jangan setakat dilihat kami pada straight A1,walau meja Pendidikan Islam tak pernah jadi pilihan tatkala Hari Interaksi Waris.Jangan silap dalam menanggapi konsep ibu bapa sebagai kawan kepada anak-anak,kerana anak-anak masih perlu pada father/mother figure(iaitu PERHATIAN & KETEGASAN).Jangan sewenang-wenangnya menyalahkan cikgu-cikgu,apatahlagi kawan- kawan kepada anak kita(sebab kita tak pernah ambil tahu anak kita berkawan dengan siapa).Apa pula kata mantan mufti Perlis?

AKHLAQ Yang Terlupakan...

Mungkin ada banyak faktor yang menyumbang ke arah gejala satanisme,blog ini dan empunya diri punya kekangan untuk menghurai segalanya.Namun inilah bicara yang kita sering lupakan.BICARA AKHLAQ!Saya ingin memetik kata-kata seorang...
Ada satu perkara yang perlu dipelajari sebelum menuntut ilmu,iaitu ADAB.Tetapi sekarang kita belajar terlebih dahulu sebelum belajar adab.Hasilnya,pelajar yang TAK BERADAB!

Aduh...terpaksa menyentuh bahagian yang paling tak digemari sejak 5 Februari(Tun Dr. Mahathir kata...'DAH LAMA DAH') ialah POLITIK.Agaknya inilah hasil menjunjung isme-isme ciptaan Zionis,antaranya demokrasi.Maka jadilah taksub berlebih-lebihan,prasangka yang tak berkesudahan,belum lagi politik Machiavelli yang tercatat dalam buku teks Sejarah Ting.5 (tidak merujuk mana-mana pihak ya...).Perkara pertama yang kita semua tinggalkan ialah AKHLAQ,tengok sahajalah apa yang berlaku di Bukit Chandan,hingga dipersoalkan oleh seorang Cina,"Inikah sikap orang Islam,selepas bersolat Jumaat pergi berdemonstrasi."

Mana hilangnya akhlaq mahmudah tika menghadapi perbezaan/salah faham?Adakah pemimpin B.N/pemimpin P.R zalim setaraf FIRAUN atau NAMRUD?Adakah para pengkritik(yang sanggup menggunakan kata-kata yang kurang manis terhadap pihak-pihak tadi)suci lagi baik setaraf MUSA A.S?Sedang Nabi Musa diperintah Allah agar berbudi bahasa ketika berdakwah kepada FIRAUN yang terkenal zalim,maka siapa diri kita ini untuk melampaui batas perintah ALLAH kepada Nabi Musa tadi?(terima kasih pada komen tanpa nama di artikel ini).Maka tidak hairanlah muda-mudi sekarang ini dengan pantas menuturkan kata-kata kesat...
P*%^M#$
C*&#@ and the lists goes on...

Jika meter kelajuan mencerminkan kepantasan sesebuah kenderaan,ingatlah bahawa meter KEIMANAN pula menentukan AKHLAQ seseorang(apa kata Saifulislam?).Sebagai khatimah, hayatilah lagu Doa Yang Terlupakan dari kumpulan Ungu( tajuk lagu ini mirip tajuk artikel ini, cuma tanpa kata 'doa' ^_^)

nota-nota penting:
  1. Bila Dato' Siti ke,Meet Uncle Hussain ke,nak buat album berunsur nasihat macam Ungu setiap Ramadan?
  2. Terlebih dahulu memohon maaf jika menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Khamis, 29 Januari 2009

FARSHI TURAB



فرشي التراب يضمني وهو غطائي

حولي الرمال تلفني بل من ورائي

واللحد يحكي ظلمة فيها ابتلائي

والنور خط كتابه أنسي لقائي

والأهل أين حنانهم باعوا وفائي

والصحب أين جموعهم تركوا إخائي

والمال أين هنائه صار ورائي


والاسم أين بريقه بين الثنائي

هذه نهاية حالي فرشي التراب

والحب ودع شوقه وبكى رثائي

والدمع جف مسيله بعد البكائي

والكون ضاق بوسعه ضاقت فضائي

فاللحد صار بجثتي أرضي سمائي

هذه نهاية حالي فرشي التراب

والخوف يملأ غربتي والحزن دائي

أرجو الثبات فإنه قسماً دوائي

والرب أدعوا مخلصا ً أنت رجائي

أبغي إلهي جنة فيها هنائ
ي

ingat mati itu pasti...

Isnin, 26 Januari 2009

Rasullullah Lihat Rahsia Di Syurga







JIKA Allah mencipta neraka sebagai tempat hukuman bagi segala dosa insan, syurga pula dijanjikan bagi mereka yang diredai-Nya.

Bagi menyampaikannya kepada umat manusia, Allah memperlihatkan Rasulullah SAW keadaan di syurga ketika baginda dalam perjalanan Israk Mikraj. Ketika memasuki syurga, baginda yang diiringi Jibril, melihat sesuatu yang menjadi suatu rahsia buat setiap insan.

Rasulullah melihat beberapa kubah lu’lu’ yang ternganga dengan tulisan di pintu syurga “Sedekah itu adalah 10 kali ganda dan memberi hutang itu 18 kali ganda.”Rasulullah SAW yang hairan dengan kenyataan bahawa memberi hutang itu lebih besar daripada bersedekah, bertanyakan Jibril. Jawab Jibril: “Orang yang meminta itu kadang-kadang dia sudah pun mempunyai barang itu, sedangkan orang yang berhutang itu tiada mempunyai apa-apa, maka terpaksa berhutang untuk mendapatkannya, atau dengan kata lain dia berhutang kerana benar-benar berhajat."

Kemudian Rasulullah SAW berjumpa sebatang sungai susu yang tiada berubah rasanya dan sebatang sungai arak yang lazat dan sebatang sungai madu yang jernih. Di situ ada juga buah delima dan segala macam buah kayu. Selepas itu, keluar daripadanya pakaian penghuni syurga dan kemudian keluar burung yang bentuknya seperti unta. Rasulullah SAW terlihat pula telaga Al-Kausar. Dalamnya ada 70,000 fursah yang airnya mengalir di atas batu yakut dan zabarjad. Di tepinya ada lu’lu’ yang besar, airnya mengalir masuk ke kolah Rasulullah. Timbanya seperti bintang di langit dijadikan daripada emas dan perak serta tanahnya daripada kasturi yang amat harum. Kemudian keluarlah Rasulullah SAW dari syurga itu. Diriwayatkan, di dalam syurga mengalir beberapa sungai yang airnya datang dari sumber mata air Sungai Firdaus dan ada beberapa sungai yang namanya diberi sesuai dengan sifat airnya seperti Sungai Air Jernih, Sungai Susu dan Sungai Madu.

Al-Quran juga ada menyebut mengenai rumah atau mahligai di syurga. Riwayat Haizh Abubakar Al-Ajri daripada Imran Hashim dan Abi Hurairah menyebut: “Bahawa mahligai-mahligai di syurga tercipta dari Lu’Lu’ dan pada tiap-tiap mahligai itu ada 70 kampung dari yaqut yang merah, pada tiap-tiap kampung ada 70 rumah daripada zamrud hijau.” Mengenai tumbuhan pula, digambarkan bahawa batang pokok dibuat daripada emas dan nikmat buahnya tidak dapat digambarkan oleh manusia.

Ada pokok yang dinamakan Sidratul Muntaha yang jauh tempat yang dinaungi oleh pokok itu adalah 70 tahun dengan menaiki kuda dan lebar daunnya mampu menutup sesuatu umat, setiap daun ada malaikat dan berwarna-warni adakala bertukar jadi intan baiduri. Fungsi bidadari pula adalah untuk menghibur dan melayani serta menjadi jodoh (isteri) lelaki mukmin ahli syurga dan keadaan bidadari itu digambarkan dalam al-Quran: “Dan akan melayani atau menghibur mereka bidadari yang seperti mutiara tersimpan (molek dan cantik). Dan kami jodohkan mereka dengan bidadari.”

Sabtu, 24 Januari 2009

Falsafah Iman dalam Road Run


Bingkisan ini istimewa untuk pelajar Intersaber.Pelik betullah,road run pun ada kaitan dengan iman ya?Kalau setakat jangan menipu masa road run tu tahulah...

Road run ibarat kehidupan kita di dunia.Sebelum acara ini bermula,masing-masing berjanji memberikan yang terbaik untuk menyumbang mata pada rumah sukan masing-masing.Bukankah kita juga berjanji di alam roh mengakui keEsaan Allah?

Sebelum acara ini bermula,kita sibuk mempertingkatkan stamina,ada yang berlatih 4 kali,ada yang tiap-tiap hari,buat bekalan semasa acara sebenar.Apa bekal kita sebagai Muslimin dalam menempuhi kembara iman pula?ILMU!
Bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk.Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.Bacalah,dan tuhanmu Yang Maha Pemurah.Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(Surah Al-Alaq:1-5)

Kalau ditanya kenapa kita mesti menjuarai road run(selain nak jadi wakil sekolah^_^),ramai akan menjawab,"nak menang","nak mata rumah","nak medal"...mengapa kita begitu percaya kita semua dapat mnyumbang mata pada rumah sukan,bukankah mata tersebut sesuatu yang tidak dapat dilihat?Di situlah IMAN,satu kepercayaan yang kukuh dalam hati,diterjemah pula dalam amal.Huh,baru terfikir sekarang...kita punya matlamat hidup,sekuat matlamat untuk menjuarai road run,iaitu menggapai reda Ilahi.
ALLAH GHAYATUNA!

nota:Salam perpisahan buat Cikgu Hamidah,Cikgu Fathiah,Cikgu Ku Ahmad,Cikgu Loh dan Cikgu Raja Asmah.Jasa kalian taburkan akan tersemat di sanubari warga S.B.P.I.S.B.Selamat pulang juga kepada Tuan Haji Ahmadi B. Abas dan Tuan Haji Rizuan B. Atan.

Selasa, 13 Januari 2009

Kaabah:Menjawab Persoalan

Di balik serangan ke atas bumi kelahiran Imam As-Syafie(baca:Gaza!),ada satu lagi serangan yang harus ditangani(KLIK SINI).Sebelum ini juga ada persoalan mengenai Kaabah yang telah dijawab dalam artikel kami yang sulung(di sini).Hendakkan dipendekkan riwayat,adalah seorang sejarawan P.N Oak yang mendakwa Kaabah itu ialah binaan Hindu(?)atas penemuan artifak dari dalam Kaabah.Teksnya berbunyi begini:
“Beruntunglah mereka yang lahir dan hidup di masa kekuasaan Raja Vikram. Dia adalah orang yang berbudi, pemimpin yang murah hati, berbakti pada kemakmuran rakyatnya. Tapi pada saat itu kami bangsa Arab tidak mempedulikan Tuhan dan memuaskan kenikmatan berahi. Kejahatan dan penyiksaan terjadi di mana-mana. Kekelaman dosa melanda negeri kami. Seperti domba berjuang mempertahankan nyawa dari cakaran kejam serigala, kami bangsa Arab terperangkap dalam dosa. Seluruh negeri dibungkus kegelapan begitu pekat seperti malam bulan baru. Tapi fajar saat ini dan sinar mentari penuh ajaran yang menyejukkan adalah hasil kebaikan sang Raja mulia Vikramaditya yang pimpinan bijaksananya tidak melupakan kami - yang adalah orang-orang asing. Dia menyebarkan agamanya yang suci diantara kami dan mengirim ahli2 yang cemerlang bersinar bagaikan matahari dari negerinya kepada kami. Para ahli dan pengajar ini datang ke negeri kami untuk berkhotbah tentang agama mereka dan menyampaikan pendidikan atas nama Raja Vikramaditya. Merkea menyampaikan bimbingan sehingga kami sadar kembali akan kehadiran Tuhan, diperkenalkan kepada keberadaanNya yang suci dan ditempatkan di jalan yang Benar.” [`Sayar-ul-Okul’ ms 315]

Ada rasa iman goyang tak?Sekarang inilah jawapan standard TADIKA yang dapat menyelamatkan iman kita,Kaabah tak pula ada rupa bentuk atau seni bina Hindu,ada patung ke dekat pintu Kaabah macam kita tengok pada kuil.Itu sahaja jawapan kami(nanti dicop perkauman pula...),semoga kita berfikir waras dan tegas dalam menghadapi dakyah seumpama ini.(perbahasan lebih lanjut di sini).Itulah gunanya ILMU(macam moto sekolah ya),seperti nukilan Ustaz Dr. Juanda Jaya di sini.

Isnin, 15 Disember 2008

ALLAH MURKA WALAU SEEKOR LALAT


Diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. tentang dua orang pemuda yang melintasi sebuah kuil. Apabila mereka melintasi dihadapan kuil itu, mereka ditahan oleh sekumpulan pemuda kafir dan tidak membenarkan mereka melintasi kuil tersebut kecuali mereka mempersembahkan sesuatu kepada patung dikuil tersebut...

Jika mereka melintasi kuil itu tanpa mempersembahkan sesuatu, mereka akan dibunuh..


Lalu bertanyalah pemuda-pemuda tersebut tentang persembahan yang perlu diberikan kepada patung itu. Maka jawab pemuda-pemuda kafir itu " Berilah apa saja yang mampu asalkan ada persembahan"

Maka pemuda pertama menangkap seekor lalat dan dibunuhnya lalat tersebut dan dipersembahkan kepada patung di kuil tersebut. Ini kerana apalah salahnya menangkap lalat dan dipersembahkan kepada patung itu kerana pada pandangannya perbuatannya itu amat kecil sekali berbanding segala amalan yang telah dibuatnya. maka dia pun dilepaskan pergi.


Sedangkan pemuda kedua tidak mahu mempersembahkan apa-apa kepada patung itu kerana baginya mempersembahkan sesuatu kepada patung adalah syirik dan itu merupakan dosa besar. Maka dia berkeras dan tetap dengan pendiriannya agar tidak akan mempersembahkan apa juga kepada patung itu. Akibatnya dia ditangkap dan dibunuh...


Maka sambung Rasulullah s.a.w. pemuda pertama masuk neraka walaupun dosanya hanya mempersembahkan lalat kepada patung manakala pemuda kedua masuk syurga kerana berjaya mempertahankan keimanan dan tidak diganggu gugat oleh sebarang ugutan..


Maka kita juga perlulah mengambil iktibar agar tidak melakukan dosa walau sekecil mana pun kerana kerana kita tidak tahu dimana letaknya kemurkaan Allah. Ditakuti nanti dosa yang kita anggap kecil, sebenarnya mengundang kemurkaan Allah....dan disebabkan dosa itu..kita dihumban ke neraka .. Nauzubillah.....

dibunuh...


Maka sambung Rasulullah s.a.w. pemuda pertama masuk neraka walaupun dosanya hanya mempersembahkan lalat kepada patung manakala pemuda kedua masuk syurga kerana berjaya mempertahankan keimanan dan tidak diganggu gugat oleh sebarang ugutan..


Maka kita juga perlulah mengambil iktibar agar tidak melakukan dosa walau sekecil mana pun kerana kerana kita tidak tahu dimana letaknya kemurkaan Allah. Ditakuti nanti dosa yang kita anggap kecil, sebenarnya mengundang kemurkaan Allah....dan disebabkan dosa itu..kita dihumban ke neraka .. Nauzubillah....