JIKA Allah mencipta neraka sebagai tempat hukuman bagi segala dosa insan, syurga pula dijanjikan bagi mereka yang diredai-Nya.
Bagi menyampaikannya kepada umat manusia, Allah memperlihatkan Rasulullah SAW keadaan di syurga ketika baginda dalam perjalanan Israk Mikraj. Ketika memasuki syurga, baginda yang diiringi Jibril, melihat sesuatu yang menjadi suatu rahsia buat setiap insan.
Rasulullah melihat beberapa kubah lu’lu’ yang ternganga dengan tulisan di pintu syurga “Sedekah itu adalah 10 kali ganda dan memberi hutang itu 18 kali ganda.”Rasulullah SAW yang hairan dengan kenyataan bahawa memberi hutang itu lebih besar daripada bersedekah, bertanyakan Jibril. Jawab Jibril: “Orang yang meminta itu kadang-kadang dia sudah pun mempunyai barang itu, sedangkan orang yang berhutang itu tiada mempunyai apa-apa, maka terpaksa berhutang untuk mendapatkannya, atau dengan kata lain dia berhutang kerana benar-benar berhajat."
Kemudian Rasulullah SAW berjumpa sebatang sungai susu yang tiada berubah rasanya dan sebatang sungai arak yang lazat dan sebatang sungai madu yang jernih. Di situ ada juga buah delima dan segala macam buah kayu. Selepas itu, keluar daripadanya pakaian penghuni syurga dan kemudian keluar burung yang bentuknya seperti unta. Rasulullah SAW terlihat pula telaga Al-Kausar. Dalamnya ada 70,000 fursah yang airnya mengalir di atas batu yakut dan zabarjad. Di tepinya ada lu’lu’ yang besar, airnya mengalir masuk ke kolah Rasulullah. Timbanya seperti bintang di langit dijadikan daripada emas dan perak serta tanahnya daripada kasturi yang amat harum. Kemudian keluarlah Rasulullah SAW dari syurga itu. Diriwayatkan, di dalam syurga mengalir beberapa sungai yang airnya datang dari sumber mata air Sungai Firdaus dan ada beberapa sungai yang namanya diberi sesuai dengan sifat airnya seperti Sungai Air Jernih, Sungai Susu dan Sungai Madu.
Al-Quran juga ada menyebut mengenai rumah atau mahligai di syurga. Riwayat Haizh Abubakar Al-Ajri daripada Imran Hashim dan Abi Hurairah menyebut: “Bahawa mahligai-mahligai di syurga tercipta dari Lu’Lu’ dan pada tiap-tiap mahligai itu ada 70 kampung dari yaqut yang merah, pada tiap-tiap kampung ada 70 rumah daripada zamrud hijau.” Mengenai tumbuhan pula, digambarkan bahawa batang pokok dibuat daripada emas dan nikmat buahnya tidak dapat digambarkan oleh manusia.
Ada pokok yang dinamakan Sidratul Muntaha yang jauh tempat yang dinaungi oleh pokok itu adalah 70 tahun dengan menaiki kuda dan lebar daunnya mampu menutup sesuatu umat, setiap daun ada malaikat dan berwarna-warni adakala bertukar jadi intan baiduri. Fungsi bidadari pula adalah untuk menghibur dan melayani serta menjadi jodoh (isteri) lelaki mukmin ahli syurga dan keadaan bidadari itu digambarkan dalam al-Quran: “Dan akan melayani atau menghibur mereka bidadari yang seperti mutiara tersimpan (molek dan cantik). Dan kami jodohkan mereka dengan bidadari.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan