Rabu, 28 Januari 2009

Puisi Munajat : Dosa Semalam

Puisi ini tersiar dalam majalah Dewan Siswa Januari 2009. Hasil nukilan saudari Noor Izzati Abdul Rahim.


Dosa Semalam


Malam itu

semilir bayu suram

suluh cahayanya kelam

awan yang berarak muram

hitam pekat likat.


Malam itu

dia termenung sendirian

mengintai tabir silam

yang penuh dengan sesalan

atas salah silap diri

yang tak disedari.


Malam itu

dia bingung sendirian

lalu sejadah dihamparkan

nawaitu ingin kembali

dambakan kasih sejati

Tuhan Rabbul 'Izzati.


Malam itu

sejadah merah menjadi saksi

bening mata yang berkaca

tangis sendu seorang hamba

menyucikan sekeping hati

yang penuh dengan noda.


Malam itu

dia tersenyum kembali

dengan kasad hati

memperbaiki silap diri

tak mahu diulangi

dengan taubat yang mengiringi.

1 ulasan:

  1. Subhanallah.
    Menarik puisi ni, walaupun saya ni bukanlah orang yg reti berbahasa.
    Tapi, nampak cambest~

    BalasPadam