Memaparkan catatan dengan label Qalam Kreatif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Qalam Kreatif. Papar semua catatan

Selasa, 15 Mac 2011

Kisah Lelaki Tua Dengan 3 Anaknya

Kisah Lelaki Tua Dengan 3 Anaknya


Di sebuah kampung tinggal seorang lelaki tua yg sudah bertahun-tahun kematian isteri. Dengan arwah isterinya itu dulu dia dikurniakan tiga orang anak lelaki.

Semuanya sudah remaja. Anak pertama bernama Anis, kedua bernama Harben dan ketiga bernama Amsal. Akan ketiga-tiga ini yang paling disayangi ialah Harben. Sayangnya dengan Harben langsung tidak diberinya keluar rumah. Si polan ini sayang juga dengan Anis.

Ahad, 12 Disember 2010

Rintihan Sejadah Usang

Rintihan Sejadah Usang
.


Satu hari aku terdengar
Esak tangis sungguh terdengar
Mungkinkah hantu mungkinkah pontianak
Atau pun orang tengah buang anak

Rupanya datang dari bawah meja
Sejadah merah empunya suara
Aku pun mula la naik takut
Memang seram, memang kecut

Heran pulak camne sejadah boleh menangis
Pikir pikir ikhtiar aku dah habis
Aku pun mula la dapat satu idea
Kalau sejadah erti nangis,
mesti dia pandai berkata2

Ku tanya sejadah apakah gerangan
Hingga menangis cam tak ingat Tuhan
Teresak-esak sejadah pun menjawab
Sungguh tak sangka dia pandai bercakap

"Aku sedih pasal nasib diri ku
Dulu aku berguna, sekarang dah jadi macam batu
Hari ni aku kena campak bawah kerusi
Entah esok entah lusa kena buat lap kaki"

"Dulu aku diguna lima kali sehari
Aku masa tu bangga dapat berbakti
Sekarang aku haram tak bersentuh
Zohor Asar Maghrib Isyak....apatah lagi Subuh"

"Apasal tuan ku buat aku macam ni
Sembahyang tidak, asyik melangok depan TV
Bangun pagi terus breakfast gitar
Sampai aku pun tak tau bila dia nak sedar"

"Tuan ku mungkin masih tak sedar diri
Esok lusa belum pasti hidup atau mati
Dia dah dewasa, aku tak boleh buat apa lagi
Pandai2 la dia pikir pasal hidup dia sendiri"

Iskkk... . aku pun mula la sayu
Mendengar kisah sang sejadah yang begitu pilu
Aku pun dah lama sedar pasal benda ni
Cuma aku anggap tu masalah dia orang sendiri
Kadang kala aku heran perangai manusia
Bencana yang datang dianggap bala
Tak pernah terpikir hikmah di sebaliknya
Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa

Kalau hidup kau penuh masalah
Mesti ada something yang kau buat salah
Allah takde nak hukum hamba-Nya macam tu saja
Mestilah kau ada cacat dan cela

Sedar lah kita ni semakin tua
Ajal dan maut bukan kita yang empunya
Telinga dah makin pekak
Kepala makin naik botak
Mata pulak dah makin tak nampak

Arah hidup masih lagi kabur
Esok lusa siapa tau nak ke kubur

Itu ajelah kisah hari ni

Bukan mengutuk sekadar melampias isi hati

Anggaplah ini satu nasihat

Aku pun bukannya perfect sangat

Rabu, 17 Februari 2010

Kemanakah cinta kita menghilang?


Kemanakah cinta kita menghilang Ya Allah?
Ke hutan belantara ke gaung curam kucari.
Tapi tiada kujumpa ya Allah.
Tiada kujumpa!
Adakah ia telah lenyap buat selamanya?
Terhembus keluar dari atmosfera cintaku?
Tak layakkah diriku untuk menikmatinya hingga nafas terakhirku?

Jangan begini,
aku tidak mampu ya Allah.
CintaMu itu umpama desiran bayu.
Yang perlahan-lahan mengusap jiwa
Yang perlahan-lahan membuatku bahagia
Aku cemburui Rabiatul Adawiyah ya Allah
Mengapa bukan aku yang Kau pilih?
Mengapa bukan aku?

Jangan sampai satu titik hitam itu memusnahkan yang lain juga.
Aku tahu kelemahanku ya Allah.
Aku tahu itu. Dan sebenar-benarnya aku tahu.
Lantas, inilah yang aku bimbangkan.
Bisikkan pada pintu langit, jangan biarkan aku menunggu lagi

Teratai putih, menjelmalah!
Pari kecil, bawalah...
Debunga sakti, terbanglah...
Dan CINTA, kembalilah!

kemana cinta kita menghilang ya Tuhan?

jangan biarkan aku meninggalkanMu lagi ya Tuhan
jangan sampai aku jadi insan munafik
nauzubillah
aku gembira dan bahagia
jika hanya Kau bisa kembalikan cinta kita ya Allah

Selasa, 2 Februari 2010

Kisah Lucu Guru Nafi Kewujudan Tuhan

Diambil daripada sini~


Telah diriwayatkan dalam suatu kisah lucu yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah di mana seorang guru berdiri di hadapan pelajar lalu bertanya kepada mereka, “Adakah awak semua boleh melihat saya?”.

Para pelajar menjawab, “Ya!” Lalu guru tersebut berkata: “Ini bererti saya wujud.”

Dia bertanya lagi kepada para pelajar: “Adakah kamu semua melihat papan hitam?”.

Para pelajar menjawab: “Ya!”

Dia berkata: “Maka papan hitam itu wujud.”

Dia meneruskan pertanyaan lagi sambil berkata: “Adakah kamu melihat meja?”

Para pelajar menjawab: “Ya!”

Dia berkata, “Bermakna meja itu wujud.”

Dia bertanya lagi: “Adakah kamu melihat Allah?”

Para pelajar menjawab: “Tidak!”

Maka dia berkata, “Ini bererti Allah itu tidak wujud!”

Lantas seorang pelajar yang agak cerdik bangun dan bertanya kepada rakan-rakannya: “Adakah kamu melihat akal cikgu?”

Para pelajar menjawab: “Tidak!” Dan pelajar tersebut berkata: “Ini bererti akal cikgu tidak wujud.”


Dinukil daripada kitab Allah oleh Syeikh Said Hawwa

Sabtu, 18 Julai 2009

Rejab, Sya'aban, Ramadhan...



REJAB bulan menabur benih.
SYA’ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA’ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA’ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

REJAB bulan maghifirah (keampunan).
SYA'ABAN bulan syafaat.
RAMADHAN bulan menggandakan kebajikan.

Selasa, 3 Februari 2009

Malam Itu Dia Menangis

Dalam hening bulan purnama
membuatkan dia menangis
teringat buku amalan
yang tak sempat dikemas kini
diimbang antara
akaun soleh dan noda

Malam itu dia menangis
sujudnya pada sejadah usang itu
bisa dibilang jari
walau beribu botol wain telah diteguknya
bahkan jadi koleksi
menhgira tunggakan zakatnya
tak dilunasi
meski jutaan ringgit hartanya
hasil rasuah dan riba

Malam itu dia menangis
menyesal terlambat baginya
tatkala nyawa di
tenggorokan.

nota:hasil karya yang tak seberapa,Muhammad Fakhruddin Bin Hj Safian dalam Dewan Siswa Februari 2009

Rabu, 28 Januari 2009

Puisi Munajat : Dosa Semalam

Puisi ini tersiar dalam majalah Dewan Siswa Januari 2009. Hasil nukilan saudari Noor Izzati Abdul Rahim.


Dosa Semalam


Malam itu

semilir bayu suram

suluh cahayanya kelam

awan yang berarak muram

hitam pekat likat.


Malam itu

dia termenung sendirian

mengintai tabir silam

yang penuh dengan sesalan

atas salah silap diri

yang tak disedari.


Malam itu

dia bingung sendirian

lalu sejadah dihamparkan

nawaitu ingin kembali

dambakan kasih sejati

Tuhan Rabbul 'Izzati.


Malam itu

sejadah merah menjadi saksi

bening mata yang berkaca

tangis sendu seorang hamba

menyucikan sekeping hati

yang penuh dengan noda.


Malam itu

dia tersenyum kembali

dengan kasad hati

memperbaiki silap diri

tak mahu diulangi

dengan taubat yang mengiringi.

Jumaat, 2 Januari 2009

Seribu Satu Kisah Malam Tahun Baharu

Kata sahibul hikayat,telah merangkak tualah usia pakcik Bumi,pabila jam menunjukkan 12 tanda 1 Januari 2009 pun bermula.Maka seperti yang kalian maklum daripada maudu' hari ini,pelbagailah ceritera malam tahun Baharu yang amat masyhur di dada akhbar,bak Hikayat Seribu Satu Malam yang penuh dongeng yang asyik-masyuk,sampai ter'Subuh' dinosaurlah para ikhwan dan akhawat (bukan semua ye,jangan terasa...).

GEGAK GEMPITAlah malam tahun baharu itu dengan pelbagai pesta dan suka ria, meninggalkan para imam,bilal dan makmum yang setia di surau dan masjid nan lengang,dek kerana 'Melayu Mudah Lupa' terutamanya mengingati sejarah ombak gadang 26 Disember 2004(pelat Jepunnya TSUNAMI) atas asbab subjek Sejarah yang dianggap boring,mengalahkan subjek Sains dan Matematik yang belajar dalam Bahasa Inggeris tu,hinggakan cikgu Sejarah yang menjadi mangsa label 'tak tahu mengajar'(tak lupa juga pada para ustaz dan ustazah, yang dipersalahkan ibu bapa kandung yang tak tahu didik anak sendiri!).

Arakian di bumi jantung pisang inilah MELETUP perkhabaran pesta seks dan dadah yang diadakan di Metropolitan(menyambut tahun baharu kununnya...) beserta jeng,jeng,jeng... seorang pelakon wanita(tak tahulah yang jadi pujaan kita ke...) dan penyampai berita wanita T.V swasta(hmm...tak TV3,NTV7.Ataupun 8TV/TV9?)...maka sampailah di bumi Tanah Melayu ini (opss sensitiviti kaum,Malaysia) perkhabaran dari dua penjuru alam(walau berkongsi benua) satu dari perbatasan Sungai Golok,satu dari angin gurun yang panas kering berhembus 'memanaskan hati' penduduk seisi alam ini.

Nak dipendekkan riwayat,59 insan terbakar kekeringan dalam hawa 'noda' sebuah kelab malam,angkara bunga api yang tak ketahuan puncanya(tunggu laporan bomba selanjutnya^_^).Tetapi yang menyedihkan tatkala sorak-sorai kita di Dataran Merdeka yang penuh sejarah(jadi tempat hiburan akhirnya...a.k.a mangsa hedonisme),terlupa kita pada anak kecil Palestin yang merintih kehilangan ibu akibat pengeboman Gaza.Apa kita sudah buta pada ayah yang sunyi dek kehilangan anakanda tercinta yang syahid melawan kuffar,walau gambar terpampang di muka akhbar,ditayang di peti TiVi,bisa dicapai hujung jemari?Atau kita yang bingung,dek suapan hiburan siang malam?DI MANAKAH UMAT ISLAM???hanya teriak-teriak kecil demonstrasi yang ibarat anjing menyalak bukit,bukit tak runtuh di sana-sini(lebih baik dari berpesta sahaja...)

nota:maaflah atas segala khilaf hamba dalam penghasilan certot(cerita kontot) ini.Yang baik itu hanya dari ALLAH semata-mata....

Selasa, 23 Disember 2008

Al-Kisah Tuan Haji...

Cerita ini dipetik daripada blog rakan saya.Selamat berhibur......

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Ada seorang businessman yang kaya raya bernama Hj. Teepo.Apa saja nama bisnes atas muka bumi ini, dia ada. Sayang, kekayaan Hj. Teepo adalah sebahagian besar hasil penipuan dan putar alamnya dalam bisnes.Sahamnya berpuluh juta, hasil penipuan. Tanah ribu hektar, pun hasil tipu.Wang beratus juta juga, tipu punya hasil. Puas isterinya memberikan kaunseling agar Hj. Teepo berhenti menipu, namun tak dihiraukannya.

Kerana makan terlalu banyak dan mewah, dinner tiap-tiap malam(orang belanja of course), exercise tarak, satu hari Hj. Teepo disahkan oleh doktor mengidapi penyakit barah dan disahkan akan padam dalam masa sebulan.Maka teramatlah hiba hati Hj. Teepo nak meninggalkan dunia ini, tambah pula mengenangkan segala aktivitinya selama ini.Maka dipanggillah anak isterinya untuk berwasiat. "Kain yang dah buruk,koyak pun tak apa, buat kain kapan aku. Aku dah banyak merasa kemewahan didunia ini. Biarlah kain buruk yang ku bawa ke akhirat,”jelas Hj. Teepo dengan genangan air mata “Kenapa begitu bang?” tanya isterinya. “Saja aku nak merasa pakai kain buruk pula,” jawabnya lagi. Isterinya terdiam,tapi hatinya berbisik, “Syukurlah, walau dah agak terlambat, ada juga kesedaran dan keinsafan di hati suamiku.”

Maka tempoh sebulan cuma tinggal 24 jam lagi. Dengan wajah sugul,Hj. Teepo berbaring dikamarnya. Kain putih yang dah lusuh dan terkoyak sana sini Telah siap disediakan. Untuk terakhir kali, si isteri menghampiri Hj. Teepo.”Bang”, bisiknya perlahan. “Buat kali terakhir sebelum abang meninggalkan kami, berilah tahu kenapa abang nak dikapankan dengan kain
yang dah buruk. Sedih saya melihat keadaan kain itu bang. Apakah abang telah insaf dan bertaubat dengan perbuatan abang selama ini?”

Hj. Teepo merenung isterinya lama-lama dan bersuara, “Baiklah,mari rapat kepadaku” isteri Hj. Teepo terus menghampiri suaminya. Dengan nada yang sedih Hj. Teepo bersuara, “Yang, you pun tahu, terlalu banyak dosa yang I lakukan selama ini. Berapa ramai orang yang dah I kelentong. Jadi cukuplah kemewahan yang I rasakan. Biarlah I dikebumikan dengan kain buruk saja.Isterinya masih ragu-ragu.“Apakah abang fikir dosa-dosa abang boleh diampunkan dengan berkain kapan yang buruk begitu?” tanyanya lagi.“Bukan begitu Yang. Kalaulah abang pakai kain kapan yang buruk,
nanti Malaikat Mungkar dan Nakir fikir abang dah lama mati
. Mereka juga akan
Fikir abang dah kena soal. Taklah nanti mereka soal abang lagi.Jadi selamatlah
abang… ".“Astaghfirullah hal ‘aziiiiiiiiiim” isteri Hj. Teepo terus terlentang kerana terkejut beruk dengan penjelasan suaminya....

nota:gelak-gelak juga tapi amalan kita dah cukup ke?Moral of the story...

Solat,zakat,puasa dan haji boleh tercemar dengan akhlaq mazmumah,bahkan permainkan aqidah pula...

Isnin, 22 Disember 2008

Jalinan Ukhuwwah,Tautan Mawaddah

Ukhuwwah
semanis kata
sekompleks 'networking'
dalam nuansa niaga

Kata tak bisa menyingkap rasa
manisnya silaturrahmi
atas nama Ar-Rahman
mengisi fitrah manusiawi
dahaga akan
sentuhan mawaddah

mungkin aku jahil lagi
erti ta'aruf,tafahum
dan takaful
Namun kita bertemu
lantas berpisah
dalam tautan reda-MU
Uhibbukum fillah...

nota:dipetik daripada blog ini

Sabtu, 22 November 2008

Lelaki idaman muslimah

Biarlah dia seorang yang buta
Kerana matanya sunyi dari melihat
perkara-perkara maksiat dan laghah
Kerana kedua matanya terpelihara dari
memandang aurat wanita ajnabi
Asalkan kedua matanya terang
dalam memerhati keagungan ciptaan Allah
Asalkan dia celik
dalam melihat kesengsaraan umat Islam
di Palestin, Bosnia, Ambon dan seumpamanya

Biarlah dia seorang yang bisu
Bisu dari pujuk rayu yang bisa mengoncang keimanan
Bisu dari mengungkapkan ungkapan yang bisa meracun fikiran
Bisu dari perkataan yang bisa mengundang kekufuran
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingati Tuhan
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran
Asalkan dia petah
membangkang kemungkaran
dan dia lantang
menyuarakan kebenaran

Biarlah dia seorang yang bakhil
Bakhil dalam memberi senyuman
pada wanita yang bukan mahramnya
Bakhil dalam meluangkan masa
untuk membuat temujanji
dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya
Bakhil untuk menghabiskan wang ringgitnya
kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya
Tetapi dia begitu pemurah
meluangkan masanya untuk beribadah
dengan Khaliqnya
Dia begitu pemurah
untuk mempertahankan aqidahnya
Pemurah dalam memberikan nasihat dan teguran
Sehingga dia sanggup
menggadaikan hartanya
bahkan nyawanya
demi melihat kalimah syahadah

Sabtu, 13 September 2008

Untukmu Sahabat

Tika Ramadan tiba
kau terlantar atas cadar putih
hiba

Merenung ke luar jendela
"Apatah ada sekelumit cahaya
dalam kelam langit
tak bermaya?"
Moga Ramadan datang
dengan rahmat
keampunan
dan penawar buatmu

Usah kau tangisi deritamu
kami di sini rindu
ceria tawamu dahulu......

(untuk saudari Hafizah Bt. Hassan,yang kini berjuang melawan kanser tulang belakang di HUSM Kubang Kerian.Marilah kita doakan kesihatannya bertambah baik kelak)

Jumaat, 22 Ogos 2008

LELAKI....

LELAKI
dulu,
bila disebut lelaki,
wanitanya mendongak megah,
lelaki kami Asadullah,Saifullah.
tokoh ramai tak terkira.
kini bila disebut lelaki,
wanitanya menunduk lemah,
tokoh kami sedikit sekali,
ramainya,boneka Yahudi.
dulu,
bila disebut lelaki,
wanitanya tenang di hati
lelaki kami menjaga,melindungi,
kini,
bila disebut lelaki,
wanitanya mahu cabut lari,
lelaki khianat,perogol bersiri.
dulu,
bila seorang wanita teraniaya,
sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,
kini,
ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
lelaki tunduk tak bertenaga.
dulu,
bila wanita di bawah jagaannya,
lelaki memagari sehabis daya,
tiada siapa berani menggoda,
kini,
bila wanita di bawah jagaannya,
lelaki tak kisah auratnya terbuka,
wanitanya dibiar bebas,binasa.
dulu,
lelaki menggadai harta dan nyawa,
untuk mengangkat kemuliaan agama,
kini,
lelaki menggadai ketinggian agama,
demi nafsu, dunia seisinya
dulu,
lelaki bermatian mencipta sejarah,
kental berjihad tekun berdakwah,
kini,
lelaki hanya menyanjungi sejarah,
diri bermalasan,tenaga tak dikerah.
dulu,
lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,
kini,
lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
hingga sanggup membunuh.
dulu,
lelaki bersatu menghadapi musuh,
angkatannya kuat dan teguh,
kini,
lelakinya berpuak dan berpecah,
sesama sendiri sering bertelingkah.
kembalilah lelakiku,
pada kelakianmu,
kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.
-wanita damsyiq
(dipetik dari syabab musafir kasih,fatimah syarha mohd. noordin)
terima kasih saudari Syazana Aqilah.

Ahad, 1 Jun 2008

Pendoa

Dia berteleku

di atas sejadah cinta

seikhlas hati

menghadap rumah

keagungan-Nya

kepingin dia

jejak di situ

dalam sunyi

bibirnya menutur

Subhanallah

Alhamdulillah

La Ilaha Illallah

Allahu Akbar

madah seribu pujian

pada Pencipta


Tatkala fajar menyingsing

dalam sepi itu

menyapa lubuk hati

muhasabah sendiri

dan gelap buana sirna

dek suluhan mentari siang

tika waktu dhuha

nota:Tersiar dalam Dewan Siswa November 2008(hasil karya saudara Muhammad Fakhruddin)