Sabtu, 24 Januari 2009

Kamu, Masa & Islam

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal sholih. Dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan Kebenaran. Dan berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kesabaran." (Al-3shr:1-3)


Bismillah...

Percaturan
Atas lamparan putih ini akan saya sampaikan apa yang saya rasa betul, dan apa yang saya kira bakal membantu kalian dalam penjagaan masa. Ayat di atas jelas menerangkan kepada kita akan kepentingan masa di sisi islam. Mahukan kita digelar sebagai golongan yang rugi? golongan yang tidak beroleh kejayaan? golongan yang senantiasa dibelenggu kecelakaan dan kehancuran? Sedarlah wahai manusia, kita hidup di atas bumi ini bertunjangkan akan perhubungan masa. Terus, wujud kata-kata hikmah seperti "masa itu emas" yang menekankan akan kepentingan masa bagi kita sebagai komuniti muslim yang berjalan di atas alam ciptaan Al-Khaliq.

Kehidupan kita bergantung sepenuhnya pada persoalan ini, "bagaimana cara anda menguruskan masa?". Dalam ayat di atas juga, Allah mengingatkan kita sesungguhnya kita berada dalam kerugian, kerana gagal dalam percaturan masa. Pada hari ini, ramai manusia yang leka, leka akan 'kecantikan' dunia, membuang masa dengan melepak, menganggu kehidupan orang lain, mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan pelbagai perlakuan yang ditegah di dalam Islam. Adakah kita dalam golongan ini, golongan yang dibenci Allah, sedahlah bahawa kehidupan ini terlalu singkat!, hanya sebagai platfom persinggahan bagi kita untuk beramal dan memuji kebesaran Al-Malik. Namun, berbahagialah kepada mereka yang tahu akan kepentingan masa, tidak mensia-siakan kehidupan yang dianugerahakan kepada mereka.

Perjalanan
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. memberi galakan kepada kita supaya memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sabda baginda

"Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa; Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu, masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu, masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu, masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu, masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin."

(Hadis riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas r.a.)

Secara ringkasnya, kita ditekankan untuk menggunakan masa dengan sebaiknya sebelum kelima-lima kondusi tersebut mengetuk pintu kehidupan kita, iaitu sewaktu kita punya masa untuk diuruskan. Sepanjang perjalanan kita sebagai manusia, mula dengan kelahiran, diselangi dengan proses tumbesaran dan pematangan minda, hadirnya cinta dan dihubungkan pertalian dan ditutupi dengan kematian, kita akan sentiasa berhubung dengan masa dari saat kita dibuai manja sehingga ke pintu kematian.

Ketahuilah bahawa, kalian akan dihisabkan atas setiap detik masa yang kalian lalui semasa perjalanan kehidupan. Dalam hadis baginda: "Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan: Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya); bagaimana ia habiskannya? Ilmunya; bagaimana ia amalkannya? Hartanya; dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya? Tubuh-badannya; bagaimana ia gunakannya?

(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah Nadhlah ibn Abid al-Aslami)

Pengurusan masa


Allah telah berfirman, maksudnya:

"Ar-Rahman telah mengajarkan al-Quran. Telah menjadikan Insan (manusia) sebagai makhluk yang mempunyai akal fikiran. Matahari dan bulan (beredar) dengan perhitungan. Bintang-bintang dan pohon-pohon kedua-duanya bersujud (kepada Allah s.w.t). Langit (alamraya) ditinggikan-Nya, dan diadakan neraca Keadilan. Supaya kamu jangan aniaya dalam neraca timbangan. Dirikanlah timbangan dengan adil dan janganlah kamu merugikan pada timbangan. Bumi ditetapkanNya untuk makhlukNya, padanya ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai mayang (kelopak). Biji-bijian yang mempunyai daun ditangkainya dan harum-haruman. Maka nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?
(Ar-Rahman:1-13)


Kelebihan kita dari makhluk-makhluk lain adalah akal fikiran, keupayaan untuk membezakan mana yang benar dan mana yang batil, serta kepintaran dalam menyelesaikan masalah. Memandangkan kita telah dikurnaikan dengan akal fikiran, sepatutnya kita sedar akan pengaruhnya dalam Islam. Kita seharusnya menggunakan masa yang kita ada untuk beramal, mendekatkan diri dengan Allah SWT serta mengejar matlamat hidup sebagai seorang muslaim iaitu dalam mengejar kebahagian di dunia dan diakhirat serta beroleh keredhaan dari-Nya.

Untuk itu, kita perlu ambil peluang yang ada dengan menyusus stratergi penggunaan masa. Di sini akan saya ringkaskan langkah-langkah pengurusan masa yang efektif yang telah saya pelajari dari artikel 6 Tips for Better Time Management, hasil nukilan John Casey.

----------------------------------------

Sediakan sebuah diari masa
- Jujur dalam menyenaraikan semua aktiviti harian, dari waktu makan, waktu menonton tv kepada waktu tidur, catitkan semua agar proses peracangan dapat dilakukan dengan mudah

Belajar untuk berkata "Tidak!"
- Disiplinkan diri untuk menolak segala aktiviti yang bakal menganggu pengurusan masa, aktiviti yang dimaksudkan di sini ialah, aktiviti yang boleh dielak, boleh untuk tidak dilakukan. Fokuskan minda terhadap matlamat harian, matlamat yang perlu dicapai dan perlu dilaksanakan.

Sediakan senarai 'Apa yang perlu dilaksanakan'
- Dalam bab ini, izinkan saya pula berkongsi. Cara yang saya aplikasikan dalam kehidupan seharian adalah dengan menyediakan buku nota kecil. Senaraikan apa yang perlu dilakukan pada hari tersebuat pada awal pagi, dan potong apa yang telah dilaksanakan. Diri akan termotovasi dengan sendirinya apabila melihat perkara-perkara yang telah dilaksanakan dipotong dari senarai tersebut.

Biar teknologi membantumu
- Teknologi masa kini banyak membantu pengurusan masa. Jika kalian mampu, cuba dapatkan perisian penjadualan persendirian yang dapat mengurangkan permaslahan dari segi pengurusan waktu.

Perlaksanaan secara serentak
- Terdapat beberapa aktivitiyang dapat digabungkan agar masa dapat dijimatkan, seperti mendengar kepada buku melalui MP3. Namun kalian perlu bijak dalam menjalankannya, jangan pula menjawab telefon ketika sedang memandu, bakal mengundang kepada kemalangan.

Jauhi sifat 'Perfectionist'
- Tidak salah untuk menjadinya, namun harus diingatkan bahawa sikap ini juga bakal mengundang kepada kehilangan masa yang bernilai serta tekanan akibat diri yang terlalu teliti dalam setiap perkara.

Selesai sudah, namun harus diingatkan juga untuk terus menghargai setiap usaha yang telah dilaksanakan dengan membelikan hadiah kepada diri sendiri atas kejayaan dalam menghargai masa
----------------------------------------


Diharap agar apa yang telah disampaikan ini mampu mengubah persepsi kalian terhadap kepentingan masa dan terus menghargai masa yang telah Allah sediakan untuk kita agar kita beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat, insyaAllah

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan